Thursday, December 9, 2010

PERUTUSAN YAB DATUK SERI PRESIDEN





Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi - tinggi kesyukuran ke hadrat Illahi.kerana dengan izinNya kita telah berjaya menubuhkan Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia yang akan dikenali sebagai ALUMNI ini.

Sejarah panjang penglibatan dan perjuangan kita sebelum ini di dalam Gerakan Belia 4B Malaysia tentunya memberikan bekas dan kesan yang bukan sedikit kepada kita semua. Kita telah berjaya membina Gerakan Belia 4B sebagai pertubuhan belia terbesar dan paling berjaya di negara ini. Ahli - ahli dan cawangan - cawangan Gerakan Belia 4B telah tumbuh, berkembang dan menyubur di segenap pelusuk Semenanjung Malaysia. Kita juga berjaya melahir dan membina begitu ramai pemimpin yang akhirnya telah muncul sebagai pemimpin masyarakat, negeri dan negara yang terbilang.

Sebagai ahli - ahli dan pemimpin Gerakan Belia 4B sebelum ini, kita telah berjaya membina jaringan atau rangkaian perhubungan yang cukup mantap. Di dalam pertubuhan ini, kita juga telah membina persahabatan dan setiakawan yang cukup mesra, akrab dan kukuh. Kita tidak sahaja diikat oleh prinsip keanggotaan di dalam organisasi tetapi lebih jauh dari itu, kita juga telah mendirikan pasak dan sendi hubungan yang beremosi ataupun ‘emotional attachment’ yang cukup sukar untuk dileraikan.

Penubuhan ALUMNI sesungguhnya adalah sebagai platform untuk kita meneruskan perjuangan sambil mengekalkan persahabatan, setiakawan dan hubungan emosi yang akrab di kalangan kita. Seperti Sungai Melaka yang tidak pernah terhenti aliran airnya, sungai perjuangan kita juga tidak akan terhenti hanya kerana kita bukan lagi ahli Gerakan Belia 4B Malaysia. Berbekalkan motto BERPRINSIP ~ BERMORAL ~ BERWIBAWA ~ BERBAKTI, kita akan meneruskan lagi perjuangan kita untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara kita melalui ALUMNI.

Bersandarkan kepada pengalaman dan komitmen kita yang tinggi sebelum ini, saya berkeyakinan penuh bahawa ALUMNI akan menjadi sebuah pertubuhan yang berwibawa dan berkesan. Kita akan terus menganjurkan program - program sosial dan kebajikan untuk ahli - ahli dan masyarakat. Kita juga akan menganjurkan majlis - majlis ilmu seperti seminar, forum dan konvensyen untuk terus berbakti kepada proses pembinaan negara tercinta ini.

Selain itu, kita juga akan terus menganjurkan program - program riadah, sukan dan lawatan - lawatan sambil belajar untuk terus menjadikan kita semua sentiasa sihat, cerdas dan energetik.

Pada masa yang sama kita juga akan mengadakan sinergi dengan Gerakan Belia 4B Malaysia supaya pertubuhan belia yang telah kita bina dan sentiasa kita gilap itu akan terus memancarkan sinarnya yang cemerlang.

Sebagai pejuang agama, bangsa dan negara, ALUMNI juga akan terus mempertahankan asas kenegaraan kita yang berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan yang telah memaktubkan dengan jelas kedudukan Agama Islam dan Hak - Hak Keistimewaan Bumiputera. Dalam kita berpendirian terbuka, toleran dan menerima secara positif proses pembinaan negarabangsa Malaysia, ALUMNI bertegas untuk mempertahankan asas kenegaraan Malaysia daripada dirobek dan dirosakkan oleh anasir - anasir yang tidak bertanggungjawab dan berkepentingan sempit ini.

Akhir kata, saya ingin mengajak seluruh ahli - ahli dan masyarakat umumnya mendoakan kejayaan ALUMNI ini, Insyaallah

No comments:

Post a Comment